Wednesday 4 January 2012

Bukti Nabi Muhammad Dalam Kitab Bible(Part 3)

Marilah kita menyelidiki ketiga perkara yang dianggap menjadi bukti bahawa ramalan ini adalah mengenai Muhammad.
1. Firman Allah di dalam mulut nabi
Kaum Kristian memang tidak percaya bahawa Al-Quran adalah firman Allah. Tetapi demi sebab berbicaraan ini, kami mengatakan seumpama bahawa Allah benar-benar menaruh firman-Nya ke dalam mulut Muhammad. Ini adalah supaya kita dapat menyelidiki sama ada "firman di dalam mulut Muhammad" boleh digunakan sebagai bukti kuat bahawa Muhammad adalah nabi yang diramalkan dalam Ulangan 18:18. Pada pandangan kami, sebutan "Aku akan menaruh firman-Ku dalam mulutnya" tidak dapat digunakan untuk menentukan siapakah nabi itu. Kalimat ini adalah benar bagi semua nabi kerana Allah telah menaruh firman-Nya ke dalam mulut mereka semua. Allah berkata kepada nabi Yeremia:
"Sesungguhnya, Aku menaruh perkataan-perkataan-Ku ke dalam mulutmu." (Yeremia 1:9.)
Lebih-lebih lagi, kita baca di Ulangan 18:18 bahawa Nabi yang datang selepas Musa akan "mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya." Sekarang kita baca bahawa Isa pada satu ketika berkata kepada pengikut-pengikut-Nya:
"Sebab Aku berkata-kata bukan dari diri-Ku sendiri, tetapi Bapa, yang mengutus Aku, Dialah yang memerintahkan Aku untuk mengatakan apa yang harus Aku katakan dan Aku sampaikan. Dan Aku tahu, bahawa perintah-Nya itu adalah hidup yang kekal. Jadi apa yang Aku katakan, Aku menyampaikannya sebagaimana yang difirmankan oleh Bapa kepada-Ku." (Injil Yohanes 12:49-50.)
Satu lagi contoh mengenai sebutan yang sama dijumpai di dalam doa Isa pada malam terakhir dia bersama pengikut-pengikut-Nya. Dia berdoa:
"Sebab segala firman yang Engkau sampaikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka." (Injil Yohanes 17:8.)
Jadi tidak dapat kita tentukan identiti nabi yang disebut dalam Ulangan 18:18 dengan menggunakan firman Allah yang dimasukkan ke dalam mulutnya. Oleh itu, nabi yang diramalkan mesti ditentukan dengan cara-cara lain.
2. Nabi dari kalangan suadara-saudara mereka
Kaum Muslim mendakwa bahawa "saudara mereka" dalam Ulangan 18:18 bermaksud saudara kepada kaum Israel, iaitu kaum Ismail. Dalam kes ini, kita mesti menimbangkan ayat-ayat lain yang terkandung di dalam pasal yang mengandungi ramalan itu.
Allah berfirman, "Seorang nabi akan Ku bangkitkan bagi mereka dari antara saudara mereka." Siapakah yang Allah maksudkan apabila Dia berfirman "mereka"? Kita mendapat jawapannya apabila kita meninjau kepada dua ayat di permulaan pasal ini.
"Imam-imam orang Lewi, seluruh suku Lewi, janganlah mendapat bagian milik pusaka bersama-sama orang Israel….Janganlah ia mempunyai milik pusaka di tengah-tengah saudara-saudaranya." (Ulangan 18:1-2.)
Dari 2 ayat ini, amatlah jelas bahawa "mereka" bermaksud suku Lewi dan "saudara mereka" bermaksud sebelas suku-suku Israel yang lain. Hal ini merupakan kenyataan yang tidak boleh dibantah lagi. Tiada tafsiran Ulangan 18:18 yang jujur membenarkan kaum lain kecuali suku Lewi dan suku-suku Israel yang lain. Mari kita menyiasat tafsiran yang betul mengenai "saudara-saudaranya" yang tercatat dalam Ulangan 18:1-2. Kita baca:
"…seluruh suku Lewi, janganlah mendapat bagian milik pusaka bersama-sama orang ISRAEL….Janganlah ia mempunyai milik pusaka di tengah-tengah SAUDARA-SAUDARANYA."
Oleh itu, tafsiran Ulangan 18:18 yang betul adalah: "Seorang nabi akan Kubangkitkan bagi mereka (iaitu suku kaum Lewi) dari antara saudara mereka (iaitu suku-suku Israel yang lain)". Memang, Perjanjian Lama penuh dengan sebutan "saudara mereka" yang bermaksud suku-suku Israel yang lain. Sebagai contoh:
"Tetapi bani Benjamin tidak mau mendengarkan perkataan saudara-saudaranya, orang Israel itu." (Hakim-hakim 20:13.)
Dalam ayat ini. "saudara-saudaranya" adalah suku-suku Israel yang lain, yang berlainan dengan bani Benjamin. Di dalam Ulangan 18:18, maka "saudara mereka" dengan jelas, bermaksud suku-suku Israel yang lain. Sekali lagi, menurut Bilangan 8:26, suku Lewi diperintahkan agar membantu "saudara-saudaranya" yang merupakan suku-suku bani Israel lainnya. Di 2 Raja-raja 24:12, bani Yehuda berasingan dengan "saudara mereka", sekali lagi suku-suku Israel yang lain. (Tengok juga Hakim-hakim 21:22, 2 Samuel 2:26, 2 Raja-raja 23:9, 1 Tawarikh 12:32, 2 Tawarikh 28:15 dan lain-lain.)
Memang, di Ulangan 17:15 kita baca bahawa Musa pada satu ketika berkata kepada kaum Israel "Dari tengah-tengah saudara-saudaramu haruslah engkau mengangkat seorang raja atasmu; salah seorang asing yang bukan saudaramu tidaklah boleh kau angkat atasmu". Cuma seorang Israel sahaja yang boleh diangkat sebagai raja kepada Israel – "dari tengah-tengah saudara-saudaramu" – orang asing tidak dibenarkan, sama ada dia kaum Ismail, suku Edom atau lain-lain, yang boleh diangkat sebagai raja kepada Israel, kecuali dia adalah "saudara mereka", iaitu seorang daripada bani-bani Israel.
Sekarang kita mempunyai dalil mutlak yang melenyapkan cadangan bahawa Muhammad diramalkan dalam Ulangan 18:18. Muhammad adalah keturunan Ismail dan oleh itu, dengan sendirinya tidak layak sebagai calon nabi yang diramalkan mengikut ayat itu. Nabi itu sememangnya akan datang dari salah satu bani-bani Israel, melainkan suku Lewi. Allah berkata bahawa Dia akan membangkitkan seorang nabi seperti Musa bagi suku Lewi dari antara "saudara mereka", iaitu dari salah satu bani-bani Israel yang lain. Oleh kerana tujuan kita adalah untuk membuktikan bahawa Isa adalah nabi yang diramalkan oleh ayat itu, sekarang masa yang baik untuk menjelaskan bahawa Isa adalah dari keturunan bani Yehuda (Injil Matius 1:2, Ibrani 7:14). Oleh kerana itu, dia memenuhi syarat menjadi calon nabi yang akan dibangkitkan dari antara saudara suku Lewi.

No comments:

Post a Comment