Monday 3 June 2013

Alkisah Seorang Tukang Kebun

Di musim cuti ini, Zaman balik ke kampung. Ada timun yang dipetik dari dusun ayahnya untuk dijadikan ulam. Dusun ayahnya besar, ada kebun dan taman bunga. Perlukan beberapa pekerja untuk uruskan dusun seluas ini.

“Pahit timun ini. Pekebun ayah ini tahu tanam ke tak? Ini mesti tanam timun di tanah yang pernah ditanam peria. Ini dah patut kena pecat!” kata Zaman.

Ayah Zaman tidak berkata apa-apa dan teruskan makan.

Selepas makan, Zaman melawat keadaan dusun ayah bersama ayahnya. Selama ini Zaman tak pernah nak masuk kawasan dusun. Kerana timun pahit tadi, Zaman ada niat nak pergi menegur pekebun bodoh ayahnya.

“Hmm… ini pekerja bijak. Tak macam pekerja yang tanam timun pahit itu. Buah mangga ditanam diberi baja ini. Memang manis,” kata Zaman yang menjumpai pokok mangga yang lebat berbuah.

Ayahnya diam tidak berkata apa-apa.

Tiba pula di kawasan durian ditanam. Zaman mengutip sebiji durian untuk dimakan. Isinya nipis dan pahit.

“Ini siapa yang jaga pokok durian? Ayah kena tukar orang ini. Tak pandai langsung,” kata Zaman.

Ayahnya juga diam tidak berkata apa-apa.

Tibalah zaman di taman bunga dalam dusun ayahnya. Tempat itu cantik bagaikan kawasan tinggal bidadari. Bunganya mekar berkembang, landskapnya cukup menarik dan semuanya dijaga rapi.

“Ayah kena ambil lebih ramai pekerja yang jaga taman bunga ini. Pasti satu dusun ayah akan berkembang dengan baik,” kata Zaman.

Ayahnya diam dan senyum saja.

“Tapi ayah, hari ini cuti ke? Tak jumpa pun pekebun-pekebun ayah sepanjang perjalanan tadi. Ini mesti curi tulang. Orang macam ini kena buang ayah, tak boleh biar,” kata Zaman lagi.

Ayahnya masih diam.

Selepas itu, Zaman bersama ayahnya tiba di tasik di tengah dusun. Ada seorang pekerja sedang memancing ikan di tasik – seolah-olah mendapat ikan yang besar dengan cara menarik jorannya.

“Ayah, kalau itu pekerja ayah kena pecat. Waktu kerja memancing. Ini memang pemalas. Kalau pekerja lain ikut cara dia, hangus ayah. Ini dusun kita, kita ada etika, kena ada disiplin, kena ada adab kerja, kena patut pada tuan,” kata Zaman.

Akhirnya ayahnya bersara.

“Roy, datang sini sekejap,” ayah memanggil tukang kebunnya Roy datang menghampirinya.

“Tuan dah datang. Tuan, joran tuan masih tersekat sejak semalam, tak dapat tarik lagi. Rasanya tersangkut akar kayu di bawah. Kena ikhtiar cara sebab mata kail itu berharga. Sayang kalau potong terus,” kata Roy.

“Tak apa biar dulu. Ini Zaman. Anak saya. Zaman ini Roy,” kata ayahnya.

“Roy, pokok-pokok timun di atas tanah peria itu memang pahit. Enta betul, tak boleh tanam terus sejurus selepas tanam peria. Betul juga kata Roy, pokok durian yang ditanam di tanah rata isi kulitnya nipis, nasib baik Roy susun balik pokok-pokok lain di kawasan lereng. Taman bunga itu kalau Roy ada masa, cuba buat air terjun buatan di tengah, rasanya lebih menarik,” pesan ayahnya sebelum beredar.

Mendengar penjelasan ayahnya, Zaman terkedu. Tapi beliau diam.

Rupa-rupanya, Roy seorang tukang dusun yang digaji ayah Zaman sejak 4 tahun yang lalu. Kebun ayahnya kini mendapat hasil yang banyak dan disanjung tinggi.

Walaupun hanya dikerjakan seorang, tapi keadaan dusun itu dilihat seperti ramai pekerja yang mengendalikannya.

Tapi Zaman tidak tahu menahu dengan perkara tersebut.

“Orang yang Man puji, kutuk, kritik, dan nak pecat tadi hanyalah Roy seorang. Ayah tak gaji ramai, hanya Roy seorang, sebab dia buat kerja dengan niat bahawa dusun ini milik dia. Jadi dia jaga dengan baik.

Man, menegur ini mudah. Menghina ini tak susah. Tapi sebelum menegur dan menghina, tanyalah diri, sebagai anak ayah, apakah Man pernah bantu usahakan dusun ayah. Masa menegur, Man jangan anggap diri betul dan lebih tinggi darjat Man daripada orang lain.

Sebab mata Man hanya ada dua, yang nampak di depan. Tapi Man terlupa ramai lagi mata memandang kat Man dari keliling yang Man tak nampak. Bahkan tadi, Man terlupa mata ayah dan Allah sedang memandang karenah Man.

Man komen seolah-olah Man sahaja yang tahu jaga dusun ini. Sebenarnya ayah dan Roy juga sama-sama menjaga dusun ini dan sudah berusaha lama sehingga dusun mendapat hasil. Man masuk dusun kali pertama dah pertikai kerja-kerja yang dilakukan Roy dan ayah. Man komen atas perasaan prasangka – dengan mata niat mencari kesalahan selepas termakan timun pahit. Tak baik itu,” tegur ayahnya.

“Ya ayah. Man sedar sekarang. Tak akan buat lagi,” jawab Zaman.

Ayahnya tersenyum dan bertanya, “Sekarang dah tahu keadaan sebenar, nampak tak nilai Roy dari segi usaha dan kerajinannya menjaga dusun ayah seorang diri?”

“Ya. Kerajinan dan kesungguhannya memang luar biasa. Man pun tak dapat tanding kerajinannya,” jawab Zaman.

“Kan bagus pakai cermin mata yang sangka baik, daripada yang sangka buruk?” jawab ayahnya sambil dua-dua tersenyum.

Bila menegur, jangan anggap diri sendiri betul dan seolah-olah pandangan diri sahaja betul dan lebih tinggi daripada orang lain walhal kamu menegur dengan 2 mata di depan, tapi beribu mata di keliling kamu dan Allah sedang memerhatikan kamu.

Tanyalah diri – kamu menegur untuk menghukum macam Zaman ke, menegur untuk membimbing? Buatlah teguran mendidik selalu, teguran menghukum meminta seseorang dipecat macam Zaman cuba elakkan.