Wednesday 4 January 2012

Bukti Nabi Muhammad Dalam Kitab Bible(Part 1)

Pada 1975, Ahmed Deedat mengadakan beberapa ceramah dimana dia cuba membuktikan kewujudan ramalan Muhammad yang dikatakan terkandung di dalam Al-Kitab. Ceramah pertama yang berjudul, What does the Bible say about Muhammad? adalah mengenai ramalan Ulangan 18:18 di dalam Perjanjian Lama. Deedat cuba menunjukkan bahawa Nabi Musa meramalkam kedatangan Muhammad dengan menggunakan ayat tersebut. Ceramah keduanya berkaitan dengan ramalan oleh Nabi Isa mengenai kedatangan Muhammad apabila Nabi Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya untuk menunggu ketibaan seorang Penghibur yang menurut Isa akan datang setelah Ia pergi.
Ceramah-ceramah Deedat adalah contoh bagaimana kaum Muslim cuba membuat dua ramalan ini supaya meramalkan kedatangan Muhammad. Percubaan-percubaan sedemikian timbul oleh kerana ayat yang terkandung di dalam Al-Quran yang mengatakan bahawa kedatangan Muhammad diramalkan oleh kitab-kitab Yahudi dan Kristian.
(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. (Surah 7:157)
Tidaklah menghairankan jika kaum Muslim bertungkus-lumus menyelidiki Taurat dan Injil untuk mencari ramalan yang berkenaan dengan ayat tersebut. Nampaknya, Al-Quran amat yakin bahawa ramalan ini boleh ditemui dengan mudah. Tetapi, apabila kaum Muslim cuba mencari ramalan-ramalan sebegini, mereka terperanjat kerana Nabi Isa-lah yang diramalkan dan bukannya Muhammad. Kelahiran Isa, pelayanan-Nya, perumpamaan, mujizat-mujizat, penyaliban, kebangkitan, kenaikkan, kedatangan kedua, keilahian-Nya dan kemuliaan serta takzim-Nya adalah topik ramalan kitab-kitab ini. Dengan intensifnya, ramalan-ramalan ini membentarakan puncak kegemilangan wahyu kebenaran Allah dan kasih-Nya terhadap manusia. Oleh kerana itu, ramalan-ramalan ini tidak membenarkan kemungkinan terjadi antiklimaks di dalam Al-Kitab yang disebabkan oleh seorang "nabi" yang disyak akan datang. Ketiadaan ramalan sebegini mengenai "nabi" itu amatlah nyata.
Walau bagaimanapun, berpacu oleh keyakinan terhadap Al-Quran bahawa Al-Kitab memang meramalkan kedatangan Muhammad, kaum Muslim telah dengan sedaya upaya mencari ramalan berkenaan itu. Kekosongan ramalan-ramalan sebegini yang nyata telah mendorong kaum Muslim bergantung kepada dua ramalan yang telah disebutkan, iaitu satu oleh Nabi Musa dan satu lagi oleh Nabi Isa.
Kami menganggap bahawa kedua-dua ramalan ini dipercayai oleh kaum Muslim sebagai bukti-bukti yang paling kukuh bagi mereka. Dengan demikian, apabila dapat dibuktikan bahawa kedua-dua ramalan ini tidak merujuk kepada Muhammad atau kenabiannya, jadi seluruh anggapan bahawa Muhammad diramalkan dalam Al-Kitab mesti runtuh sama sekali.
Secara umum adalah difahami dan diterima bahawa untuk menentukan sesuatu, semua bukti yang berkaitan mesti diselidiki dan semua yang tidak berkaitan ditolak. Marilah kita bermula dengan ramalan pertama.

No comments:

Post a Comment